IPOH, 5 Sept: Perak FC memohon maaf kepada penyokong dan peminat bola sepak Perak kerana gagal mempertahankan rekod untuk terus bertahan di dalam Liga Super musim hadapan.

Pengurus Besarnya, Azman Noh berkata, beliau telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh daripada Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Bagaimanapun beliau mengakui,di sebalik usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan pihaknya dalam masa yang begitu singkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1001 makna kepada pasukan,paling mustahak ia merupakan satu pengajaran yang paling bermakna untuk kita bangkit.

“Perak FC memahami denyut nadi penyokong dan peminat bola sepak yang terus setia ketika susah dan senang, ketika kalah dan menang.

“Ketika penyokong dan peminat kecewa kerana kita sepatutnya meraikan 100 tahun bola sepak Perak, pihak Perak FC turut sama merasai kekecewaan dan kesedihan itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang berterusan daripada penyokong serta peminat dan berharap sokongan itu akan terus berterusan ketika pasukan di tahap paling rendah ketika ini.

“Proses untuk bangkit akan bermula dari sekarang dengan meletakkan sasaran Juara Liga Perdana tahun hadapan, sekali gus kembali ke Liga Super musim berikutnya,” ujarnya.

Menurut Azman, proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan dan Perak FC akan membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka pendek dan juga panjang dalam masa terdekat.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya kerana ini bukan pengakhiran untuk Perak FC,sebaliknya ini adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih hebat.

“Sekali lagi terima kasih kepada semua pihak, khususnya penyokong,peminat dan tidak lupa kepada kerajaan negeri yang banyak membantu,walaupun sedang bertungkus lumus memerangi COVID-19,” jelasnya lagi.