IPOH, 15 Feb – Pasukan Perak FC memulakan latihan pada Isnin dengan mengikuti protokol am latihan secara gelembung sukan atau Sport Bubble seperti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia sebagai persiapan untuk menghadapi Liga Malaysia yang dijadualkan bermula 5 Mac hadapan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, sebagai memenuhi SOP yang telah ditetapkan, kesemua pegawai dan pemain telah menjalani ujian calitan (swap test) pada Ahad.

“Walaupun kita meneruskan latihan seperti biasa tapi SOP itu adalah satu perkara yang amat penting kerana kita tidak mahu ada pemain atau pegawai kita dijangkiti COVID-19.

“Penekanan saya kepada pihak pengurusan pasukan untuk mematuhi syarat MKN ini dalam konteks gelembung sukan ini dan kita juga telah mengarahkan mereka untuk membuat swap test semua pemain dan juga pengurusan pasukan,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau sesi latihan Perak FC di Stadium Mini Chemor, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) telah memberi taklimat kepada pengurusan pasukan mengenai SOP yang perlu dipatuhi sepanjang latihan.

Antara SOP itu ialah saringan suhu badan, dilarang berkongsi air minuman, makanan, pakaian, tuala muka dan peralatan peribadi di samping tidak bersalaman dan mengurangkan interaksi sosial.

Khairul Shahril yakin, pegawai dan pemain akan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan kerana mereka sendiri teruja untuk menjalani latihan sebelum sepak mula Liga Malaysia, 5 Mac hadapan.

Sebagai persiapan, pasukan bimbingan jurulatih Mehmet Durocovic itu menjalani sesi latihan dua kali sehari, iaitu pada sesi pagi dan petang.