IPOH, 20 Jan – Perak FC tiada masalah menyambut saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan pemain masing-masing bagi mengadakan kem latihan berpusat secara kuarantin sebagai persiapan menghadapi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC merangkap pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, pihaknya tidak berdepan halangan melepaskan pemainnya menyertai latihan skuad Harimau Malaya mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) sama ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya percaya dan yakin bahawa sebarang keputusan yang dibuat FAM adalah berpandukan kepada kajian yang menyeluruh dengan mengambil kira pandangan daripada pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Latihan menerusi pendekatan kuarantin ini akan memastikan kesemua pemain akan ditempatkan dalam satu kawasan dikawal ketat dengan pematuhan SOP, jadi kita tidak bimbang untuk lepaskan pemain kita,” katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan kepada media.

Tambah Adly Shah lagi, panggilan mewakili skuad negara itu juga akan memberi ruang kepada pemain Perak FC untuk berlatih bersama pemain kelab lain agar dapat bersaing dengan lebih baik bagi musim Liga Malaysia 2021.

“Kita akur dengan FAM yang mahu skuad negara membariskan barisan terbaik untuk menghadapi kejohanan dunia ini dan kita yakin ia juga akan beri impak besar kepada pasukan kita,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan mengesahkan skuad Harimau Malaya diberi kebenaran menjalani kem latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di MSN di Bukit Jalil, dalam masa terdekat.

Menurut Reezal, MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Mac depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (25 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 30 Mac ini.

Katanya lagi, walaupaun negara berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pihaknya yakin FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan melakukan yang terbaik dengan melihat semua faktor serta merangka sesuatu mengikut kesesuaian semasa supaya perjalanan liga boleh diteruskan.