PADANG RENGAS, 14 Jun – Kerajaan Perak memberi jaminan akan mempercepatkan proses pemberian vaksin COVID-19 kepada semua guru di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya telah membangkitkan isu tersebut semasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) pada minggu lalu.

Katanya ia kerana sekiranya sekitar 40,000 guru di Perak telah divaksin maka ibu bapa tidak akan bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah selepas sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dilaksanakan kelak.

“Untuk isu pemberian vaksin kepada guru saya telah memohon kepada menteri besar untuk percepatkan proses vaksinasi kepada guru dan pendidik di negeri ini.

“Kerajaan negeri dan Menteri Besar Perak, telah berikan satu bentuk jaminan sekiranya vaksin yang sepatutnya kita terima minggu ini atau minggu hadapan dalam jumlah sebenar, golongan guru dan pendidik akan diutamakan bagi mendapat vaksin selepas ini,” katanya.

Ahmad Saidi berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 150 buah telefon pintar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau Dr Jurij Jalaludin untuk diedarkan kepada pelajar sekolah B40, di sini, pada Isnin.

Pada masa sama Ahmad Saidi pihaknya tidak menolak kemungkinan ada golongan guru yang telah mendapatkan vaksin COVID-19 lebih awal.

Justeru beliau berkata inisiatif yang dicadangkan itu menyasarakan golongan guru yang belum mendaftarkan diri dan sedang menunggu tarikh janji temu untuk mendapatkan vaksin.

Sementara itu, katanya beliau turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan terdapat mana-mana guru yang menolak pemberian vaksin ketika ditanya pemberita.

“Saya tidak boleh tolak, andaian saya mungkin ada tapi setakat ini Kerajaan Perak dan saya belum mendengar guru di negeri ini menolak untuk divaksin.

“Saya percaya warga pendidik tahu kepentingan untuk individu mengambil vaksin dan saya yakin kesedaran ini pada guru di Perak,” katanya.