IPOH, 31 Ogos – Tourism Perak meneruskan pelbagai inisiatif untuk menyemarakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini selepas pembukaan semula sektor itu secara perlahan-lahan di negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembukaan secara terkawal yang melibatkan hotel dan homestay ini secara tidak langsung dapat membantu menggerakkan ekonomi setempat yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2020.

Sebagai usaha untuk mendokong dasar dan polisi kerajaan, Tourism Perak menggerakkan beberapa inisiatif secara berperingkat.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi melancarkan baucer #TravelPerakLah Fasa 4 secara maya.

Dalam masa sama, beliau turut melancarkan semula #TravelPerakLah Fasa 3 yang telah dilancarkan pada 1 Julai 2020 yang lalu.

Nolee Ashilin berkata, dengan pelancaran semula itu, tempoh penggunaan serta penebusannya dilokasi produk, pengusaha hotel dan agensi pelancongan domestik sekitar Negeri Perak sehingga Jun 2022.

“Sebanyak 125 pemain industri iaitu terdiri daripada pengusaha hotel, pengusaha produk pelancongan dan agensi pelancongan yang berdaftar.

“Inisiatif ini dipermudahkan lagi dengan kaedah pelancong boleh terus menebus baucar tersebut apabila membuat pembelian pakej / penginapan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran itu.

Menurutnya, baucer pelancongan #TravelPerakLah Fasa 4 pula dilancarkan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik di Perak sebagai persediaan kepada pembukaan penuh sektor pelancongan dalam Fasa 4 PPN.

Katanya, baucer ini lebih memfokuskan kepada 78 pengusaha spa yang berdaftar di bawah Persatuan Usahawan Spa Perak dan 35 syarikat agensi pelancongan di bawah Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ).

“Inisiatif baucer ini dijangka akan bermula pada 1 Oktober 2021 hingga Jun 2022,” ujarnya.

Tambahnya, nilai setiap baucer untuk pengunjung spa ialah RM50 manakala untuk PUHAZ ialah RM150 dengan terma dan syarat yang ditetapkan.

Sebanyak 10,000 keping baucer disediakan maklumat lanjut berkenaan boleh didapati dikesemua jaringan media sosial rasmi Tourism Perak.