IPOH: Kerajaan negeri Perak melancarkan projek khas tani COVID-19, satu lagi inisiatif untuk membantu petani yang terkesan dengan pandemik tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Fasa Kedua, yang diumumkan Mei lalu,l kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15.6 juta untuk sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

Menurutnya, di bawah projek khas tani pula, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM856,000 yang akan memberi manfaat kepada 318 petani yang mengusahakan tanaman makanan utama seperti sayuran, pisang, betik, jagung dan fertigasi.

“Kita dapati mereka adalah golongan petani yang paling terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya ketika berucap melancarkan projek itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Negeri Perak, Datuk Abdul  Yunus  Jamahri.
 

Pada majlis itu, Menteri Besar mengagihkan bantuan input baja dan racun kepada wakil-wakil petani di daerah Kinta, seterusnya kepada kesemua petani terpilih selewat-lewatnya akhir bulan depan.

“Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak akan meringankan beban wira-wira tani kita dan sebagai motivasi kepada mereka untuk berjuang sebagai barisan hadapan sekuriti makanan negara,” ujarnya.
 
Ahmad Faizal berkata, mengikut data tidak rasmi hasil pengeluaran tani yang dicatatkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak sehingga 30 Oktober 2020 menunjukkan ia mungkin akan mengalami penyusutan untuk tahun ini.
 

Menurutnya, sebagai contoh, setakat 30 Oktober lalu, komoditi sayur-sayuran mencatatkan hasil  pengeluaran sebanyak 61,051.27 metrik tan manakala bagi komoditi buah-buahan pula, hasil pengeluaran yang dicatatkan adalah sebanyak 61,209.46 metrik tan.
 

Katanya, ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pengeluaran sebanyak 117,003.30 metrik tan bagi sayur-sayuran dan 111,885.00 metrik tan bagi buah-buahan sepanjang tahun 2019 yang lalu.

“Penurunan ini disebabkan kedua-dua komoditi ini mengalami kesukaran proses penuaian dan kekangan pemasaran khususnya dalam tempoh PKP yang lalu,” jelasnya.
 

Beliau turut membayangkan bahawa Belanjawan Perak 2021 akan memberi perhatian instimewa untuk sektor pertanian dan asas tani.

“Apa yang pasti, peruntukan yang akan kita umumkan nanti, adalah manifestasi kepada kesungguhan kerajaan negeri untuk memajukan sektor pertanian dan terus membela nasib para petani, penternak dan nelayan kita,” tambahnya.