KUALA LUMPUR, 10 APRIL : Selangor FC menebus kekecewaan tewas kepada Kedah Darul Aman FC, Selasa lalu apabila menundukkan Perak FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Seakan melepaskan geram, penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak hatrik buat Red Giants.

Pemain kelahiran Nigeria itu tidak menunggu lama untuk meletakkan Selangor di depan pada minit ketujuh apabila tenang menyudahkan hantaran Jordan Ayimbila.

Ifedayo kemudian mengukuhkan kedudukan buat Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31 selepas Oliver Buff dikasari Leandro Dos Santos.

Bekas penyerang Melaka itu akhirnya melengkapkan hatrik apabila meledak gol ketiga pada minit ke -71 dan jaringan tunggal Perak dihasilkan Farid Khazali pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengumpul 11 mata, manakala Perak yang mempamerkan prestasi tidak menentu musim ini kekal dengan lapan mata selepas lapan perlawanan. -Berita Harian