BAGAN DATUK – Dakwaan salah sebuah akhbar Inggeris bahawa BN Perak berhadapan masalah besar sehingga pengumuman calon tidak dapat dilaksanakan adalah tidak benar sama sekali.

Malah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa Perak adalah negeri yang paling sedikit mempunyai masalah dalam proses pengumuman calon.

“Dalam naziran yang dilakukan ibu bejabat BN dan saya telah lakukan pemantauan terhadap semua kerusi ditandingi calon BN yang mewakili Dun dan Parlimen, Peraklah masalah yang paling sedikit.

“Umum calon belum dapat kerana kita menunggu arahan dari ibu pejabat BN kerana apabila signal dihantar oleh ibu pejabat melalui arahan daripada Pengerusi BN maka iakan dimuktamadkan dan diserahkan kepada Pengerusi BN Perak untuk lakukannya (umum),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ke-46 Rela Malaysia Peringkat Negeri Perak, di Dataran Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya juga turut turun padang di semua negeri dan walaupun terdapat sedikit masalah ia hanyalah sekadar titik bengik yang menjadi kelaziman setiap kali PRU.

“Saya perhatikan masalah yang dihadapi tak besar seperti yang pernah dihadapi dalam PRU terdahulu dan ini menunjukkan siap siaga tentera dan dari segi minda menerima siapa sahaja calon wakil BN nanti.

“Hal ini juga diterima baik oleh pimpinan akar umbi di kawasan Parlimen dan Dun serta negeri itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN Perak melalui proses musyawarah yang baik sekali di kalangan pimpinan negeri termasuklah Ahmad Zahid yang turut berada sekali dalam proses berkenaan.

“Alhamdulillah Perak disebut negeri terbaik tiada masalah dan walaupun ada masalah kecil tapi itu sudah selesai.

“Everything is fine di Perak,” katanya ringkas – sinar