IPOH, 11 Feb – Buat julung-julung kalinya, kerajaan negeri Perak memperkenalkan dana perubatan wanita untuk pembuatan tapak dialisis dengan peruntukan awal RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, peruntukan itu dijangka dapat memberi manfaat sehingga 40 orang.

Menurutnya, program itu khusus untuk membantu golongan B40 yang mengidap masalah kegagalan fungsi ginjal kronik untuk pembedahan kecil fistula (AVF) bagi persediaan rawatan hemodialisis.

Katanya, bagi pelaksanaan tahun 2021, Hospital Pakar KPJ dilantik sebagai panel untuk menjalankan rawatan tersebut.

“Kerajaan negeri akan menampung kos subsidi rawatan sebanyak RM3,000 bagi setiap rawatan dan sekiranya jumlah rawatan melebihi peruntukan subsidi, penerima perlu membiayai baki amaun,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan peruntukan RM100,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh, Yusmah Salleh di sini, hari ini.

Dr Wan Norashikin berkata, antara syarat yang perlu ialah pemohon menetap dan bermastautin di Perak sekurang-kurangnya 10 tahun; golongan wanita berusia lebih 40 tahun; pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang tidak menerima sebarang bantuan kewangan dari lain-lain agensi kerajaan, swasta atau badan berkanun.

Menurutnya, jika sambutan menggalakkan, pihaknya akan menimbangkan tambahan dana di samping meluaskan subsidi kepada kaum lelaki.

Sementara itu, Yusmah berkata, sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR), bayaran yang dikenakan pihaknya jauh lebih rendah daripada yang dibenarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).