IPOH, 15 Jan: Perak menjadi negeri pertama yang melancarkan sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO dengan sasaran 4,425 akan mendaftar di negeri itu.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mensasarkan untuk mendaftar 125,000 sukarelawan di seluruh negara.

Menurutnya, penubuhan sukarelawan itu sinonim dengan Pergerakan Pemuda UMNo yang sering melakukan program khidmat masyarakat.

“UMNO dan Pemuda UMNO memang dari dulu sinonim bukan sahaja bekerja di waktu pilihan raya, kita adalah parti yang mempunyai tradisi sentiasa melakukan program khidmat masyarakat tanpa mengira pilihanraya.

“Kita mewujudkan skuad sabil ini kerana melihat bahawa di kalangan anak muda ada kecenderungan tinggi mereka mahu mempunyai platform yang boleh menyumbang bakti kepada masyarakat tanpa terikat sangat dengan isu politik,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO Negeri Perak di sini, hari ini, yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Asyraf Wajdi berkata, penubuhan skuad sabil membolehkan mereka menghulurkan bantuan dengan segera di beberapa lokasi.

“Misalnya dalam situasi musibah banjir, jadi kita takde masalah untuk menggerakkan 300 ke 500 orang satu hari ke lokasi musibah,” ujarnya.