BAGAN SERAI, 11 MAC – Perak merancang mengadakan anugerah keusahawanan yang menggabungkan penyertaan semua agensi dan jabatan terlibat sebagai panel penilai pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata ia sebagai memberi ruang lebih ramai usahawan yang layak dapat menerima pengiktirafan mereka.

“Jika sebelum ini setiap agensi mengadakan anugerah mereka masing-masing. Misalnya, MARA (Majlis Amanah Rakyat) ada anugerah usahawan sendiri dan begitu juga agensi lain.

“Namun tahun ini saya bercadang untuk kita gabungkan semua jabatan dan agensi terlibat sebagi panel penilai. Walau bagaimanapun anugerah ini tetap akan dikategorikan mengikut kluster tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program penyerahan komputer riba kepada lima penerima oleh QAP D Optic dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menggalakkan usahawan di negeri ini untuk berurusan dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (SteP)bagi mendapatkan maklumat khususnya berkaitan bentuk bantuan perniagaan.

Katanya SteP boleh membantu mereka dalam menghubungkan kepada hampir 50 agensi dan jabatan yang ada di Perak bersesuaian dengan jenis perniagaan mereka.

“Apabila semua agensi dan jabatan berkaitan bergabung di bawah SteP, kita boleh tahu segmen perniagaan mereka. Apabila mereka datang ke SteP, kita boleh terus menghubungkan kepada pihak yang boleh membantu. Justeru proses penyaluran bantuan akan lebih mudah dan cepat,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah SteP, Mohamad Rozaln Mohamad Razalli ketika ditemui berkata dalam tempoh Mac sehingga Disember tahun lalu seramai 150,762 peniaga di Perak yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya daripada jumlah itu, seramai 25,000 peniaga yang mempunyai lesen sendirian dikesan aktif dalam tempoh sama.

“Bagi peniaga yang berpendapatan RM2,000 sebulan atau kategori ‘enterprise’ kebanyakan mereka terlibat dalam bidang makanan dan perniagaan atas talian,” jelas beliau.