IPOH: Kerajaan negeri telah menyalurkan RM2.7 juta bantuan perkapita untuk membantu pengurusan sekolah agama di negeri Perak, tahun ini.

Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, daripada jumlah itu, 686 buah sekolah rendah agama intergrasi KAFA menerima RM2.3 juta; 26 buah sekolah rendah agama rakyat sepenuh masa menerima RM192,456 dan 15 buah sekolah menengah agama rakyat meneirma RM230,904.

Menurut beliau, sekolah-sekolah itu turut menerima bantuan perkapita daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIP) berjumlah RM2,9 juta.

Di samping itu, kata beliau, 15 buah sekolah menengah agama rakyat yang berdaftar dengan kerajaan negeri Perak menerima bantuan khas secara `one-off’ berjumlah RM1.3 juta daripada kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menjawab soalan lisan Khairudin Abu Hanipah (BN – Belanja) ketika Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, Asmuni memberitahu, terdapat beberapa kriteria digunakan untuk menilai bantu-bantuan itu.

“Sekolah-sekolah itu mestilah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak berdasarkan Enakmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1966 dan Kaedah-kaedah Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1997,” ujarnya.

Di samping itu, kata beliau, pemberian bantuan juga berderdasarkan kepada bilangan murid.

Asmuni berkata, selain bantuan, beberapa insentif turut diberikan kepada sekolah-sekolah agama rakyat pada tahun ini, antaranya:-

1. Sumbangan pembangunan dan baikpulih sekolah agama rakyat sebanyak RM 3,329,000 (RM2,815.000 kerajaan negeri & RM 514,000 daripada MAIPk) melibatkan 61 buah sekolah agama rakyat.

2. Elaun tambahan kepada guru-guru KAFA sebanyak RM 7,560,000 melibatkan 3,150 Guru KAFA pada kadar RM200 sebulan.

3. Perlindungan Insuran Takaful berkelompok kepada guru-guru KAFA meliputi perlindungan kematian biasa dan kematian akibat kemalangan yang berjumlah sehingga RM15,000.