IPOH, 12 April – Kerajaan Perak menyarankan semua pihak termasuk golongan muda membangunkan tanah-tanah terbiar di negeri ini dengan menghasilkan produk pertanian.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sedang merancang melalui agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan bagi menggalakkan penyertaan golongan muda dalam industri tersebut.

Katanya kerajaan negeri mahu golongan muda memajukan tanah terbiar di penempatan kampung masing-masing dengan berskala kecil ataupun besar.

Walau bagaimanapun katanya terdapat beberapa masalah berbangkit dalam usaha kerajaan negeri mahu tanah-tanah terbiar itu dibangunkan.

“Kita memang mahu bangunkan tanah terbiar sebagai tanah pertanian namun antara masalah berbangkit adalah apabila ia merupakan tanah pusaka yang masih belum selesai isu pemilikan.

“Selain itu apabila keadaan melibatkan agensi atau jabatan kerajaan, ia tidak boleh dibuat secara berskala kecil atau berperingkat. Ia sebaliknya harus tanah yang luas dan itu yang agak sukar kita peroleh.

“Oleh kerana itu untuk membangunkan tanah-tanah terbiar ianya perlu dilihat dan diteliti supaya ianya boleh membantu membangunkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Jabatan Pertanian Negeri Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria serta Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman.

Pada majlis tersebut, seramai 29 pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sementara 25 kakitangan dan pegawai Jabatan Pertanian Negeri yang menamatkan perkhidmatan pada tahun ini dirai.