TAIPING, 28 Julai — Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Dewan St. Louis, Taiping mula beroperasi hari ini.

PPV PIKAS itu mempunyai seramai 10,000 pekerja industri.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pelaksanaan PIKAS telah menyumbang kepada peningkatan jumlah vaksinasi di Perak khususnya dalam kalangan pemain industri.

“Sehingga tarikh 27 Julai, jumlah vaksinasi dos pertama di Negeri Perak adalah sebanyak 700,076 (27.9 peratus) manakala vaksinasi dos kedua adalah sebanyak 393,016 (15.7 peratus).

“Menerusi program PIKAS ini, sudah tentu ianya akan menyumbang kepada peningkatan jumlah vaksinasi di kalangan rakyat Negeri Perak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke PPV PIKAS Umum di Dewan St. Louis, Taiping yang mula beroperasi hari ini dengan sasaran 10,000 pekerja industri.

Turut hadir Pengarah MITI Perak Rosazliza Azman, CEO InvestPerak Izran Abdullah, Pengarah MIDA Perak, Mohd Fairuz Iqbal Mohd Akhbar, dan Naib Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Datuk Gan Tack Kong.

Sehingga kini, terdapat empat PIKAS sedang beroperasi termasuk Kompleks Sukan Proton di Muallim, Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, Sapura Fabrication Sdn. Bhd. di Sitiawan dan Dewan St. Louis, Jalan Convent, Taiping.

Ujarnya lagi, tiga lagi PPV PIKAS telah diluluskan dan akan mula beroperasi termasuk Dinding Poultry Processing Sdn. Bhd (30 Julai), Toyo Tires (M) Sdn. Bhd. (3 Ogos) dan MFM Group Batu Undan (5 Ogos).

PIKAS merupakan program imunisasi kerjasama awam-swasta yang telah dilancarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 16 Jun lalu.

Katanya lagi, kerajaan negeri berharap PIKAS dapat mempercepatkan vaksinasi sekurang-kurangnnya dua juta pekerja di dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga 2021.