MANJUNG, 6 Mei – Kerajaan Perak akan menanggung kos berjumlah RM112,000 bagi pembaikan 104 rumah yang terjejas akibat bencana ribut yang melanda di sini Selasa lalu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata kos tersebut akan disalurkan melalui Yayasan Bina Upaya selain kerja-kerja pembaikan tersebut dijadualkan siap sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Justeru katanya Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung telah diarahkan untuk segera melantik kontraktor bagi menyegerakan kerja-kerja baik pulih kesemua rumah terjejas.

Menurutnya kejadian ribut itu mengakibatkan kerosakan struktur rumah khususnya bumbung di 25 kampung membabitkan Mukim Beruas, Lekir, Pangkor serta Pengkalan Bharu.

“Hasil bancian PTD Manjung mendapati daripada kesemua rumah terjejas, 84 rumah mengalami kerosakan kecil manakala 20 rumah terjejas teruk.

“Antara kerosakan yang dialami adalah rumah yang dihempap pokok besar serta bumbung yang diterbangkan angin. Selain itu dua dewan terbuka juga terjejas akibat ribut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau rumah-rumah terjejas dan keadaan mangsa ribut di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani berkata PDT Manjung turut menyediakan bantuan wang ihsan kepada kesemua mangsa selain Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia menyalurkan bantuan bencana alam kepada golongan nelayan yang terjejas.

“Walaupun nilai baik pulih RM112,000 namun ianya berkemungkinan akan meningkat. Justeru sekiranya ada pertambahan kos, kerajaan negeri juga akan turut menampung kos berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, terdahulu Saarani telah menyempurnakan penyerahan van jenazah sumbangan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Masjid An-Nuriah di Changkat Chermin dekat Ayer Tawar.

Ketua Pegawai Ekskutif, Yahanis Yahaya berkata sumbangan van jenazah itu dibuat susulan permohonan daripada pihak masjid selain ianya sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PPPNP.

Sementara itu Pengerusi Masjid An-Nuriah, Helmi Muhd Nasarudin yang ditemui mengucapkan syukur atas pemberian van jenazah yang dijadualkan terima pada 10 Mei itu.

“Sejak masjid ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, memang kami tidak mempunyai van jenazah sendiri. Sebaliknya kami hanya menggunakan troli roda tiga. Dengan adanya van jenazah itu, ianya akan memberi manfaat kepada kira-kira 400 kariah di sini,” katanya.