IPOH, 18 April – Kerajaan Perak akan menanggung sepenuhnya kos baik pulih 127 rumah di Kampung Tasek dekat sini yang rosak akibat ribut pada petang Rabu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata kos baik pulih yang dianggarkan sebanyak RM150,000 ke RM200,000 akan disalurkan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak.

Katanya Pejabat Daerah dan Tanah Kinta telah mengenal pasti kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan tersebut yang mana ianya akan bermula esok.

“Pejabat daerah telah maklumkan pembaikan di antara RM150,000 ke RM200,000. Jadi kerajaan negeri bersetuju untuk kita membiayai sepenuhnya kos pembaikan tersebut walaupun rumah itu rumah sewa.

“Pejabat Daerah telah mengenal pasti kontraktor yang akan membuat proses pembaikan. Mulai esok kerja-kerja baik pulih akan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan meninjau keadaan rumah-rumah pasca ribut di Kampung Tasek dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran.

Selain itu Saarani berkata kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan tambahan berupa wang tunai dan kotak bantuan mengandungi pelbagai makanan kering kepada mangsa-mangsa terlibat.

Mangsa, Mimi Zahara Syawal, 50 ketika ditemui mengucapkan syukur atas keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka.

“Saya berasa bersyukurlah kerana kerajaan negeri bantu kami yang berhadapan dengan bencana macam ni. Rasa ringan sangatlah beban ditambah pula pada bulan puasa ini,” katanya.

Perasaan sama dikongsi Amar Tarmizi Amar Samsuri ,27 selain menyifatkan kerajaan negeri telah bertindak cepat dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

“Agak cepat juga proses penyaluran bantuan ini. Kiranya tak adalah kami tertunggu-tunggu dan ambil masa lama. Kiranya kerajaan negeri cepat bertindak dari segi proses baik pulih rumah dan penyaluran bantuan-bantuan lain,” jelasnya.

Pada Rabu hujan lebat hampir dua jam serta ribut telah merosakkan 127 buah rumah di Kampung Tasek sehingga enam orang terpaksa ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang telah ditutup pada pagi semalam.

Kejadian ribut itu juga telah mengakibatkan seorang penduduk mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun.