IPOH, 15 Feb: Kerajaan negeri sehingga 11 Februari tahun ini telah menerima sumbangan berjumlah RM 32 juta melalui Akaun Amanah Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani berkata, sumbangan dari pelbagai sumber itu sebagai usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

Ujarnya lagi, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan merupakan penyumbang utama dengan nilai keseluruhan peruntukan disalurkan berjumlah RM 15 juta.

“Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjadi penyumbang kedua terbanyak dengan jumlah penyaluran sebanyak RM 4.7 juta.

“Kerajaan negeri turut menerima sumbangan dari pelbagai agensi seperti Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Sektor Swasta.

“Secara kumulatifnya agensi-agensi ini telah menyumbang sejumlah RM 8.9 juta ke dalam Akaun Amanah ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 ke Perak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham.

Tambahnya, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu perseorangan turut membantu menyalurkan sumbangan ke dalam Akaun Amanah ini dengan jumlah kumulatif berjumlah RM3.4 juta.

Selain itu katanya antara bantuan utama yang disalurkan oleh kerajaan negeri adalah bagi membiayai kos pusat kuarantin di sekitar Perak.

“Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM4.2 juta bagi membiayai kos Pusat Kuarantin di dalam Negeri Perak di mana peruntukan berjumlah RM2.2 juta bagi tujuan penyediaan makan minum di Pusat Kuarantin.

“RM1.5 juta bagi membiayai peralatan bukan perubatan dan lain-lain kos berkaitan di Pusat Kuarantin serta RM536 ribu untuk kos Pusat Kuarantin di hotel-hotel,”katanya.

Sementara itu Saarani berkata, bantuan turut disalurkan bagi kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Katanya lagi, RM 2.2 juta disalurkan bagi membiayai kos makan minum dan elaun petugas barisan hadapan.

“Kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak berjumlah RM760 ribu bagi tujuan pembelian Personal Protective Equipment (PPE) dan peralatan perubatan untuk kegunaan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Sebanyak RM4.1 juta juga telah dibelanjakan bagi membiayai kos pengecualian sewa gerai di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurangkan beban peniaga-peniaga kecil.

“Secara keseluruhannya sebanyak RM24.8 juta telah dibelanjakan dari Akaun Amanah ini bagi perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19,”katanya.