IPOH, 21 April – Kerajaan negeri Perak menerokai industri ladang solar yang dilihat mampu mengurangkan konflik dengan masyarakat Orang Asli dan alam sekitar.

Ia juga selari dengan agenda pembangunan ekonomi negeri yang menggariskan lima teras, termasuk meransang ekonomi berdaya tahan dan menerajui kelestarian sumber.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta melalui kerjasama awam swasta, khususnya bagi inisiatif teknologi hijau.

“Justeru, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) akan memainkan peranan sebagai pemboleh cara dalam menarik pelaburan sektor swasta sama ada dari dalam atau luar negara.

“Penyediaan persekitaran yang kondusif dengan kemudahan fasiliti, nilai tambah, perkhidmatan sumber sokongan dan jalinan kerjasama stategik bersama pemain-pemain industri.

“Agenda pembangunan ini merupakan langkah PKNPk bagi membentuk rantaian ekonomi yang kukuh dan berpotensi tinggi dan menyediakan peluang-peluang pekerjaaan dan perniagaan di negeri Perak,” katanya.

Beliau ditemui semasa Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Inisiatif Projek Solar Negeri Perak antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, PKNPk diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak manakala GKSB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Saarani berkata, projek ladang solar itu akan dilaksanakan di tasik atau bekas lombong yang banyak terdapat di Perak.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata, PKNPk menerokai prospek baru di dalam industri Tenaga Boleh Diperbaharui yang bakal membuka peluang dan ruang nilai tambah ekonomi dalam sektor-sektor perlombongan, hiliran, pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan sokongan.

Menurutnya, perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan itu melibatkan peringkat makro dan peringkat meso.  

“Peringkat makro mengambilkira perancangan dan pembangunan kawasan perindustrian dan keseluruhan sokongan kemudahan fizikal.

“Peringkat meso pula melibatkan usaha untuk mengaktifkan perkhidmatan sokongan bagi sektor perindustrian,” ujarnya.

Beliau menambah, gabungan kedua-dua kompenan itu dapat memberi impak yang besar dalam menyediakan persekitaran yang kondusif, menjana pendapatan dan membangunkan ekonomi negeri Perak.

Sementara itu, Dr. Ir. Muhamad Guntor pula berkata, projek pertama usahasama itu melibatkan pembinaan ladang solar di kawasan seluas 42 hektar di Kuala Bikam untuk membekalkan 40 Megawatt tenaga elektrik.

Katanya, projek bernilai RM150 juta itu yang dijangka bermula hujung tahun hadapan mampu memberi 1,000 peluang pekerjaan pada masa-masa tertentu di samping peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

Beliau menjelaskan, ia juga membantu nelayan darat kerana syarikat pengendali akan melepaskan ikan-ikan yang memakan rumpai sekaligus memastikan pelampung tahan lama.