IPOH: Perak menjadi tuan rumah program Bicara Legasi yang dianjurkan bersama Kumpulan Media Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah, antara lain untuk mengangkat sinergi pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan pedoman Al-Quran.

Program #Saving Legasi Peringkat Negeri Perak itu yang diadakan di Rumah Ngaji Negeri Perak (kediaman lama Menteri Besar), di sini hari ini, dihadiri lebih 90 peneraju utama kerajaan negeri, yang diketuai sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahad Faizal Azumu

Ahmad Faizal berkata, program itu sangat baik kerana memberi peluang ketua-ketua jabatan menerima ilmu daripada mereka yang arif untuk mengaplikasi ajaran Al-Quran dalam pentadbiran negeri Perak.

Menurut beliau, antara peringatan yang terkandung di dalam ayat suci Al-Quran ialah membantu golongan memerlukan seperti mereka yang berhutang, anak yatim dan fakir miskin di samping saling menasihati dengan penuh sabar dan kasih sayang.

“Ini antara perkara yang telah saya cuba bawa daripada mula saya memegang pentadbiran, namun saya juga kagum kerana rupanya ia juga selari dengan apa yang telah diajar dalam Al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada program itu.

Ahmad Faizal berharap, hasil daripada program itu, ketua-ketua jabatan dapat muhasabah diri dalam urusan kerja mereka, seterusnya menarik kakitangan masing-masing untuk sama-sama mengaplikasikan ajaran Al-Quran di dalam urusan kerja harian.

Menurut beliau, sebagai permulaan, walaupun hanya sebahagian kecil yang mengikuti program seumpama itu, sekiranya mereka berjaya melakukan perubahan, sudah tentu ia akan menjadi ikutan ramai.

“Itulah yang saya yakin, kalau kita buat ikhlas kerana Allah, tidak kesahlah cara mana kita hendak buat, tetapi kalau kita hendak buatnya demi kebaikan, saya amat yakin dan percaya Allah akan mempermudahkan dan akan membuka hati orang lain untuk menerimanya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub yakin, langkah Menteri Besar dan ketua-ketua jabatan Perak menghadiri program seumpama itu, akan menjadikan usaha untuk mengadaptasikan ajaran Al-Quran dalam pentadbiran negeri lebih efektif.

“Kita harap negeri-negeri lain juga akan ikut kerana di pihak swasta dan universiti, kita sudah laksanakan program ini, tetapi di peringkat negeri, Perak adalah negeri pertama.

“Kalau kita dapat capai apa yang dirancang, insya Allah, Perak akan jadi contoh, bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia,” tambahnya.