KOTA KINABALU, 14 JAN : Peralihan negara kepada fasa endemik akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengumuman masuk kepada fasa endemik ini akan dilakukan pada bila-bila masa memandangkan setiap negeri sudah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bulan ini saya mahu mengumumkan kita nak masuk kepada fasa transisi endemik tapi, kita tunggu sedikit masa, dalam satu dua minggu ini.

“Bila kita umumkan fasa transisi endemik ini, ada tujuh atau lapan perkara yang perlu dimaklumkan kepada orang ramai.

“Contohnya, prosedur operasi standard (SOP) dikurangkan menjadi satu sahaja, iaitu pengesanan ujian kendiri yang saya umumkan sebelum ini. Semua ini kita kena didik orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan di Tawau hari ini.

Katanya, jika bukan kerana kemunculan varian Omicron yang menular daripada jemaah umrah yang balik daripada Arab Saudi, mungkin peralihan kepada fasa endemik boleh dilakukan.

Walau bagaimanapun, situasi semasa perlu diambil kira kerana situasi di negara-negara luar cukup membimbangkan.

Hishammuddin berkata, lihat sahaja keadaan di Amerika Syarikat sekarang mencatatkan 500,000 kes sehari, begitu juga Australia yang selama ini dalam sekatan pergerakan, kini mencatatkan kes mencecah 60,000.

Biarpun Omicron ini kesannya kurang berbanding varian lain namun, jika penularannya meluas sudah pasti ia akan memberi kesan kepada keadaan kesihatan terutama golongan berisiko tinggi dan mereka yang berusia.

Malah, ia akan membawa tekanan kepada hospital dan keperluan katil-katil di unit rawatan rapi (ICU) akan meningkat.

“Justeru, apabila kita mahu buka sempadan dan memberi kelonggaran, saua kata tidak akan tutup (lockdown) secara besar-besaran.

“Tapi, dalam kita nak buka pun janganlah besar-besaran. Mesti ikut keadaan atau suasana semasa. Tak popular tak apa yang penting keselamatan dan kesihatan orang ramai,” katanya.- UTUSAN ONLINE