IPOH, 5 April – Selepas ditangguh beberapa kali sejak lebih setahun lalu, perbicaraan kes bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya pada Julai 2019, akhirnya bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin.

Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi sambil disambut sorakan kira-kira 30 penyokongnya yang datang dengan sebuah bas.

Turut kelihatan, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Perbicaraan dikendalikan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Datuk Jamil Aripin yang dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh.

Pada pembukaan prosiding, Jamil berkata, pihaknya akan membuktikan kejadian rogol itu berlaku dengan memanggil saksi dan pakar perubatan yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan lisan dan dokumen untuk menunjukkan semasa kejadian berlaku, tiada orang lain di rumah tersebut, selain tertuduh dan mangsa.

Menurut Jamil, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tidak wujud sebarang konspirasi untuk menganiaya atau menggugat reputasi dan kedudukan tertuduh.

Sebaliknya, pertuduhan yang dikemukakan berdasarkan aduan dan hasil siasatan di bawah peruntukan undang-undang.

Rajpal pula membangkitkan isu mengenai kaedah pembuktian dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, Hakim memutuskan prosiding diteruskan kerana kes tersebut telah lama tertangguh.

Prosiding hari pertama menyaksikan pihak pendakwaan memanggil tiga saksi, dua jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan seorang pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Prosiding ditangguhkan kira-kira jam 4.30 petang dan disambung jam 10 pagi Selasa.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama sembilan hari.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong didakwa merogol seorang wanita dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.