Sambil menyelam minum air, itu perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan kegiatan orang Jepun atau ‘Kosaku’ di Ipoh suatu masa dahulu.


Melihat daripada luaran, ramai yang menyangka mereka berhijrah ke Tanah Melayu atau lebih khusus di Ipoh, untuk membuka perniagaan dan mencari rezeki.

Tanpa disedari di sebalik perniagaan kedai gambar yang diusahakan orang Jepun sekitar tahun 1920, terselindung aktiviti perisikan atau pengintipan oleh ejen dari negara matahari terbit itu.


Difahamkan kedai gambar berkenaan hanya digunakan sebagai wayang atau helah ‘Kosaku’ (perisik Jepun) untuk mengaburi mata orang tempatan dan pihak British, yang ketika itu sudah bertapak di Perak.


Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata kebanyakan perniagaan ini berpusat di persimpangan Belfield Street dan Station Street (kini dikenali sebagai Jalan Sultan Yusuf dan Jalan Dato’ Maharaja Lela).


“Kehadiran masyarakat Jepun di Ipoh dikesan bermula pada tahun 1893, ia ada dalam rekod kerajaan negeri Perak. Mereka perkenalkan perkhidmatan bas dari Ipoh ke Batu Gajah.

“Ketika itu perkhidmatan pengangkutan menggunakan kereta kuda, tetapi hanya beroperasi dalam tempoh singkat. Bermula dari situ wujud orang Jepun di sini,” katanya kepada Suara Perak.

Rahsia kedai gambar Jepun

Nor Hisham menjelaskan orang Jepun sudah ada di Tanah Melayu sebelum terjadinya pendaratan dan penjajahan tenteranya di sini pada tahun 1941.


Boleh dikatakan proses penjajahan itu ada hubung kait dengan peranan perisik yang terlebih dahulu membekalkan maklumat serta gambar kepada pihak atasan di Jepun.


“Pada tahun 1921 terdapat kira-kira 180 orang Jepun di Perak. Kalau di Ipoh ada empat kedai gambar, tiga kedai dobi, empat orang doktor gigi, lima orang tukang jahit dan enam buah hotel.


“Ketika itu ada kedai Kamata Dentist & H. Simoyama’s Dental Office, T. Tasaka’s Hairdressing Saloon, Mikasa Photo Shop, Hinode Photographer & I. Itoh Artistic Photographer.


“Selain menjalankan aktiviti ekonomi, perisik Jepun ini akan menyalurkan maklumat seperti peta dan gambar. Saya pernah terlihat potret gambar kerabat Diraja yang dirakamkan jurugambar Jepun.

“Kedai gambar dan kedai gunting rambut memang berhubung dengan masyarakat umum, jadi mudah untuk mereka cungkil maklumat sebelum disalurkan kepada pihak perisikan tentera di Jepun guna surat atau telegram,” katanya.

Amaran dipandang sepi

Ceritanya lagi, bukan tiada sebarang amaran berhubung aktiviti rahsia itu, namun dipandang ringan seolah-olah mustahil pada pemikiran pihak British.


“Ada tukang gunting Jepun yang sudah lama menetap di sini, dia bersahabat baik dengan seorang polis Melayu.


“Sebelum kedatangan Jepun lagi, dia sudah maklumkan mengenai hal itu (Jepun akan serang Tanah Melayu), dia buat begitu atas dasar persahabatan sekian lama.


“Tetapi apabila polis itu sampaikan maklumat itu kepada ketuanya (polis British), mereka hanya gelakkan sahaja dan anggap maklumat itu tidak betul,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Jepun sememangnya menggalakkan aktiviti perisikan tenteranya selepas tamat Perang Dunia Pertama, bahkan ianya dijalankan di seluruh Asia Tenggara.


Selain Ipoh, perisikan ini turut dilaksanakan di Taiping, Batu Gajah dan Kuala Kangsar.

Karayuki-san dan wanita Jepun

Menceritakan serba sedikit sisi gelap masyarakat Jepun di Tanah Melayu, Nor Hisham berkata kebanyakan wanitanya terlibat dalam aktiviti pelacuran atau karayuki-san (pekerja seks).


Mengikut sumber, wanita Jepun bernama Okiku merupakan individu yang terkenal dalam bidang tersebut.


“Pada waktu itu ianya tidak menjadi kesalahan ( karayuki-san), ia bukan hanya orang Jepun tapi turut dilakukan orang-orang Cina.

“Kebanyakan pelanggan mereka ialah pekerja-pekerja lombong yang datang dari negara asing. Contohnya seperti dari China dan Eropah.


“Mereka (pelombong) datang ke sini tak bawa keluarga, hanya untuk mencari kekayaan semata-mata. Jadi perkhidmatan ini memang dibenarkan untuk memenuhi keperluan mereka.

“Tidak lama selepas itu karayuki-san ini pulang ke negara asal, namun ada juga yang menetap dan meninggal dunia di sini termasuk yang lain. Jasad mereka dikebumikan di tanah perkuburan Jepun di Buntong,” ujarnya.


Perkuburan itu menempatkan lebih 100 kubur orang Jepun, yang wujud sebelum dan semasa penduduk Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941-1945.

Episod tawanan bermula

Jelas pencinta sejarah ini lagi, kebanyakan orang Jepun beransur-ansur menutup perniagaan dan berpindah ke negara lain.


Ini kerana kesan boikot masyarakat Cina di Tanah melayu susulan Perang China-Jepun pada tahun 1937.

“Masyarakat Cina di sini menunjukkan solidariti atau sokongan terhadap negara China dengan boikot perniagaan Jepun, tindakan itu juga boleh mencetuskan rusuhan.


“Bagi orang Jepun yang rasa terancam, mereka buat keputusan untuk tutup perniagaan dan hijrah ke Singapura,” katanya.


Pada tahun 1941, tentera Jepun menyerang Tanah Melayu termasuk Perak.

“Ipoh ditawan tentera Jepun pada 27 Disember 1941, Ogos 1942 pula Ipoh dijadikan ibu negeri Perak dan kekal hingga sekarang,” jelasnya.


Tambahnya, ketika itu bangunan sekolah St. Michael Institution, Ipoh dijadikan ibu pejabat tentera Jepun.

“Setiap hari jam 8 pagi, semua kakitangan kerajaan akan berada di Padang Ipoh untuk upacara tunduk hormat kepada matahari terbit (simbol Maharaja),” kata Nor Hisham.