IPOH, 16 DIS – Kerajaan negeri memberi fokus kepada inisiatif menambah baik kemudahan prasarana dengan memperuntukan RM290.4 juta dalam Belanjawan Negeri 2021 kepada jabatan-jabatan yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan kemudahan itu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohammad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM169.8 juta merangkumi RM79.8 juta belanja mengurus dan RM90.0 juta untuk pembangunan insfrastruktur negeri bagi membina projek baru, menaik taraf bangunan dan membina serta meperbaiki prasarana jalan raya dan jambatan.

“Selain daripada projek-projek sambungan yang dalam proses pembinaan, projek-projek baharu yang akan dimulakan pada tahun 2021 adalah pembinaan jalan alternatif Pekan Ayer Tawar, Daerah Manjung; pembinaan jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Sungai Dulang sepanjang 8 km di Daerah Bagan Datuk.

“Pembinaan persimpangan jalan baharu dari perkampungan Felda Sungai Klah ke Kolam Air Panas Sungkai, Daerah Batang Padang yang akan meningkatkan lagi sektor pelancongan di Daerah tersebut.

“Projek menggantikan dan melebarkan jambatan uzur di Enggor, Daerah Kuala Kangsar. Jambatan ini akan menghubungkan 9 buah kampung dengan populasi 3,862 orang ke Pekan Karai; dan pembinaan Balai Cerap di Segari yang akan menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan ilmu falak di samping menjadi pusat tarikan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Saarani juga berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menerima kenaikan peruntukan sebanyak 2.6 peratus kepada RM113.3 juta berbanding tahun 2020.

“Daripada jumlah tersebut, RM8.5 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir di Daerah Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hilir Perak serta Kinta. RM5.9 juta untuk Rancangan Pengurusan Sungai dan Pantai, RM1.0 juta untuk pemuliharaan Sungai Kinta dan Saliran Pertanian RM0.6 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saarani turut mengumumkan buat pertama kalinya keputusan kerajaan negeri untuk memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan termasuk kerja siasatan tanah, ukur tanah dan penyediaan dokumen tender.

Beliau juga turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan kelulusan perbelanjaan menaik taraf jalan, jambatan, parit dan longkang, jalan tidak mencapai piawai dan jalan tidak berdaftar.

Tambah beliau, peruntukan RM50 juta diberikan di bawah Malaysian Road Record Information System (MARRIS).