KUALA LUMPUR, 29 Ogos: “Apa juga yang berlaku selepas ini, semua keluarga perlu bersatu menghadapi rintangan mendatang. Allahyarham abah berpesan juga kami perlu menghadapinya bersama,”.

Demikian luahan anak sulung kepada Datuk Seri Lajim Ukin, Mohd Azman ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Sedih dengan pemergiaan ayah tersayang, Mohd Azman berkata mereka sekeluarga reda dengan takdir Allah SWT itu.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Azman berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 13 Ogos lalu selepas mengadu tidak sihat dan demam.

“Selang beberapa hari, keadaanya merosot serta doktor menasihati kepada ibu saya dan ahli keluarga untuk menidurkan Allahyarham.

“Sebelum ditidurkan Allahyarham ada mengirimkan rakaman suara mohon ahli keluarga memanjatkan doa dan diberikan kesembuhan seperti sedia kala,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

Mohd Azman juga memberitahu, selain rakaman suara, seluruh ahli keluarga juga sempat melihat keadaan Allahyarham secara panggilan video sebelum ditidurkan.

Selain itu, Mohd Azman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Malaysia yang mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan Allahyarham. – Awani