ALOR SETAR, 4 MEI – Rutin seorang pesara bomba menunaikan solat sunat tarawih di beberapa masjid sepanjang Ramadan ini berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir di Masjid Al-Ghufran, Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini semalam.

Allahyarham Jamaluddin Hashim, 63, mengadu sakit pada dada ketika sujud semasa solat sunat selepas Isyak sebelum tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurut menantu mangsa, Nurul Huda Azizan, 36, bapa mentuanya yang tinggal di Tanjung Bendahara di sini pergi ke masjid tersebut untuk solat tarawih bersama seorang rakannya.

“Arwah dikatakan mengadu sakit pada dada ketika sujud semasa solat sunat selepas Isyak sambil mengucapkan Allah beberapa kali.

“Dalam keadaan menahan sakit, arwah sempat meminta rakannya mengambil telefon bimbit di dalam kereta dan memberi kata laluan supaya menghubungi suami saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepai di sini hari ini.

Katanya, suaminya, Mohd. Faris, 36, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik kemudian tiba di masjid, bagaimanapun arwah didapati sudah tidak sedarkan diri. – K! ONLINE