KUCHING, 13 APRIL : Pihak media yang bertugas di lapangan dan berhadapan risiko penularan COVID-19 akan diberikan vaksin menerusi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Fasa kedua PICK bermula April melibatkan pemberian vaksin kepada golongan rentan dan individu mempunyai komorbiditi.

“Jawatankuasa khas jaminan akses vaksin telah memutuskan bahawa dalam fasa kedua, pihak media yang juga merupakan petugas barisan hadapan akan diberikan vaksin.

“Ini kerana mereka juga merupakan golongan yang selalu berhadapan dengan risiko penularan wabak apabila keluar membuat liputan,” katanya.

Setakat Isnin, 570,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara telah menerima vaksin dos pertama dan dos kedua pada penghujung April.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya.

Manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – AWANI