TANJUNG MALIM, 12 Julai – Kira-kira 4,500 pekerja Proton di sini bakal menerima suntikan dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sebanyak 800 suntikan sehari akan diberikan sepanjang enam hari operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS Kompleks Sukan Proton, yang bermula hari ini.

“PPV PIKAS di Proton Tanjung Malim ini adalah salah satu daripada empat PPV yang dicadangkan di Perak.

“Tiga lagi PPV akan diadakan secara berperingkat di beberapa daerah berasingan setelah mendapat kelulusan daripada pihak kementerian,”katanya.

Katanya lagi, dua jenis PPV di bawah PIKAS termasuk PPV Penggunaan Umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran serta PPV di Tapak (On-Site) membabitkan PPV di kilang.

Jelasnya PIKAS adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menyasarkan tenaga kerja dalam sektor pembuatan kritikal.

Ia juga bermatlamat untuk mempercepatkan vaksinasi melibatkan sekurang-kurangnya dua juta pekerja sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga tahun ini.

Pihak MITI juga akan dibantu oleh InvestPerak dan MIDA Perak menerusi Pusat Koordinasi Sokongan Industri (PULSE) dalam mengenal pasti beberapa lokasi baharu untuk melaksanakan inisiatif PIKAS di bandar-bandar industri seluruh Perak.

“Kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.

“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksinasi pertama,” katanya.

Sehingga 11 Julai, sebanyak 485,403 mewakili 19.3 peratus jumlah penduduk Perak telah menerima suntikan dos pertama vaksin manakala 270,092 mewakili 10.8 peratus lagi telah lengkap dua dos.