KUALA LUMPUR: Beberapa pindaan terhadap Akta Kerja 1955 dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang Mac tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pihaknya sedang dalam fasa akhir persiapan sebelum mengemukakan pindaan akta berkenaan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah saya sendiri meneliti pindaan itu satu per satu.

“Menjelang Mac, kita akan membentangkan pindaan secara besar-besaran (terhadap Akta Kerja 1955),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bilateral Menteri-Menteri Buruh Ke-25, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod Parlimen, kali terakhir pindaan Akta Kerja 1955 dilakukan pada 2013, namun pelbagai pihak menyifatkan perundangan itu tidak lagi relevan dan perlu diteliti semula bagi memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja seiring perubahan, cabaran kerjaya serta ekonomi semasa.

Kulasegaran berkata, kerajaan juga sedang menunggu siri laporan daripada beberapa jawatankuasa bebas berhubung usaha meminda Akta Kerja 1955.

Beliau berkata, kementerian menerima surat permohonan daripada pihak terbabit supaya tempoh penyerahan laporan ke Kabinet dilanjutkan hingga Februari susulan berdepan pelbagai kekangan.

“Bagaimanapun, saya memaklumkan kepada mereka bahawa laporan itu harus dihantar menjelang Januari dan kita akan muat naik dalam talian sebaik Kabinet meluluskannya.

“Setakat penelitian kementerian, kita mendapati wujud 38 perkara yang menyaksikan pertindihan dalam perundangan berkenaan (Akta Kerja 1955), sekali gus menimbulkan pelbagai isu,” katanya – berita harian