Oleh: Aida Aziz

SEBELUM wujud mata wang Ringgit yang digunapakai secara meluas sekarang, masyarakat zaman dahulu menggunakan sistem barter iaitu amalan pertukaran barang untuk melengkapi kehendak masing-masing.

Kelemahan yang ada pada sistem barter seperti kesukaran menentukan nilai pertukaran dan barang tidak tahan lama antara punca ia tidak lagi sesuai digunakan.

Lama-kelamaan sistem mata wang diperkenalkan dengan pelbagai variasi jenis dan bentuk. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri keunikannya.

Perak tidak terkecuali mempunyai mata wang sendiri, sebagaimana yang diceritakan oleh Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, mata wang ini dikenali dengan nama ‘Pitis Sultan Iskandar Zulkarnain’.

Ketika ditemui Suara Perak, Nor Hisham berkata, mata wang merupakan satu perkara penting dalam kehidupan manusia sejak zaman dahulu lagi dan menjadi satu bukti kegemilangan sesebuah kerajaan.

“Bagi negeri Perak, tiada satu mata wang yang khusus diperkenalkan pada peringkat awal. Kebanyakan urusan jual beli dan perdagangan awal tersebut menggunakan sistem barter.

“Penggunaan mata wang terawal di negeri ini dikenal pasti pada awal kurun ke-16 dengan menggunakan duit blok timah. Pedagang menyatakan bijih timah dileburkan menjadi blok yang sama berat,” jelasnya.

Ujar Nor Hisham lagi, duit ini digunakan secara meluas dalam bazar di Perak. Uniknya terdapat juga pitis timah berbentuk haiwan dan bunga yang digunakan sebagai mata wang negeri ini.

‘Doit’ kepada Pitis Sultan Iskandar Zulkarnain

Menurut pengkaji sejarah ini lagi, penggunaan mata wang mula berkembang dengan pengenalan syiling Belanda yang dikenali sebagai ‘Doit’ dan Dollar Sepanyol.

“Penggunaan syiling tersebut kurang mendapat perhatian dan tidak popular di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, pada tahun 1760, mata wang keluaran negeri Perak pertama kali diwujudkan oleh Sultan Perak, Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770).

Katanya, mata wang itu dikenali sebagai ‘Pitis Sultan Iskandar Zulkarnain’ dan digunakan untuk membayar kerja-kerja pembinaan istana baginda di Pulau Indera Sakti.

Token Syiling Tembaga dan Jokoh

Tidak lama selepas itu, negeri Perak menggunakan token syiling Belanda dan syiling tembaga pada awal abad ke-19.

Nor Hisham menjelaskan, penggunaan token syiling tembaga itu berkembang dan popular digunakan selepas tahun 1832.

Ekoran peningkatan permintaannya, saudagar Singapura memperkenalkan token syiling tembaga khas untuk negeri Perak, ujarnya.

“Walaupun tidak dibenarkan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat pada tahun 1848. Token syiling tembaga yang diperkenalkan oleh saudagar dari Singapura ini dinamakan sebagai ‘duit ayam’.

“Selain itu, token persendirian yang dikenali sebagai ‘Jokoh’ turut diperkenalkan oleh saudagar asing. Penggunaannya mulai berkurangan mulai tahun 1853 dan pupus pada tahun 1920-an,” ujarnya.

“Ia susulan penggunaan meluas mata wang syiling tembaga Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dan kemudiannya Negeri-negeri Selat,” katanya.

Mata Wang Kertas Negeri-Negeri Selat

Kata Nor Hisham, mata wang kertas Negeri-Negeri Selat mula diperkenalkan oleh British dan diguna pakai di Negeri-Negeri Melayu termasuk Perak pada tahun 1898.

Tambahnya, selepas Perang Dunia Pertama tamat, kerajaan negeri Perak memberikan kebenaran kepada beberapa firma dan syarikat perlombongan bijih timah untuk mengeluarkan mata wang sendiri.

“Mereka terdiri daripada Dewan Perniagaan Cina Perak, Firma Chung Type Phin, Persatuan Kwong Loy Gopeng dan Mung Hong Yuen Kampar.

“Penubuhan Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya pada tahun 1938 membawa kepada pengeluaran mata wang Malaya buat pertama kali,” katanya.

Nor Hisham berkata, mata wang tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya ekoran Perang Dunia Kedua pada tahun 1941-1945 menyebabkan Malaya berada di bawah pendudukan tentera Jepun, mereka memperkenalkan mata wang sendiri yang dikenali sebagai ‘Duit Pokok Pisang’.

Katanya, selepas tamat pendudukan Jepun, mata wang Malaya digunakan semula sehinggalah kemunculan mata wang Malaysia oleh Bank Negara Malaysia pada 12 Jun 1967.