IPOH, 20 Jun – Dalam waktu PKP 3.0 ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut merasai kesukaran warga kota yang terkesan, terutamanya bagi golongan yang terjejas sumber pendapatan.

MBI telah memperuntukkan bantuan dalam bentuk bekalan makanan kepada keluarga yang memerlukan.

Di kawasan Bercham, Ahli Majlis MBI, Albert Ho Wai Mun dan Ketua Kampung Bercham, Choo Kam Kau telah memimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11 untuk mengedarkan kotak bekalan makanan kepada penduduk, hari ini.

Kotak bantuan itu mengandungi minyak masak, beras, makanan tin, ubat gigi, pelitup muka dan lain lain barang keperluan harian.

Albert Ho berkata, diharapkan bekalan makanan tersebut sedikit sebanyak akan meringankan beban penerima.

“Namun, ia membawa makna bahawa kerajaan khususnya MBI sentiasa prihatin dan sayang kepada rakyatnya,” katanya.

Beliau berharap sumbangan itu juga dianggap sebagai satu sokongan minda untuk semua pihak beesama-sama mengharungi cabaran hidup, khasnya dalam pandemik Covid-19 sekarang.