IPOH, 11 Jan: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar bermula Rabu ini sememangnya akan memberi impak negatif kepada industri pelancongan di Perak, yang sebelum ini menerima ramai pelancong domestik susulan COVID-19.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kerajaan terpaksa membuat keputusan tidak popular itu susulan kes harian yang melonjak dan membimbangkan.

“PKP untuk enam negeri itu sememangnya memberikan kesan yang negatif kepada negeri ini, yang merupakan lokasi pelancongan untuk negeri-negeri yang diumumkan sebagai PKP.

“Contohnya Selangor dan Pulau Pinang kerana mereka merupakan pelancong domestik yang sentiasa berkunjung ke Perak, sekaligus ia membawa kesan kepada pengusaha industri pelancongan.

“Dalam waktu yang sama, di Perak pula yang dikenakan PKPB,kita juga terhad daripada segi pergerakan kerana tidak ada rentas negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis makan malam di Laman Manjoi, di sini hari ini.

Nolee turut berharap agar orang ramai memberi sokongan kepada produk pengusaha tempatan di Perak bagi membantu mereka menjana pendapatan akibat terkesan dengan pandemik tersebut.

“Dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan ada kepentingan yang perlu didahulukan, pada ketika ini kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan.

“Walaupun kita tahu tindakan ini (PKP bersasar) tidak popular tetapi ia wajib untuk kita tidak melalui pengalaman seperti negara lain yang mana mereka tidak lagi mampu untuk memutuskan dan merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu hingga 26 Januari depan.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terenganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan PKP Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.