PETALING JAYA, 28 FEB : Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di sebuah asrama pekerja di Flat Anjung Tawas Damai, Perak mulai esok hingga 14 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia disebabkan 213 daripada 524 orang yang disaring didapati positif Covid-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail berkata, PKPD di Penjara Tapah dan kuarters kakitangan di Batang Padang, Perak yang dijadualkan berakhir esok dilanjutkan sehingga 15 Mac nanti.

Katanya, ia susulan 178 daripada 875 individu yang disaring disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, baki 505 sampel saringan sedang menunggu keputusan dan penularan jangkitan masih berlaku dalam kalangan tahanan di penjara itu.

Katanya, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II di Gerik, Perak akan ditamatkan esok seperti dijadualkan kerana tiada kes aktif lagi.

Beliau berkata, 16 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 582 individu.

“Keadaan adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.”

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 509 individu ditahan semalam kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, katanya, 472 dikompaun dan 37 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (114), tidak memakai pelitup muka (94), gagal menyediakan peralatan/merekod pelanggan (92), tiada penjarakan fizikal (91), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (58), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44), aktiviti perjudian (2), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (13).” -FMT