KUALA LUMPUR, 2 FEB : Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah mulai 3 Februari hingga 16 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes mendadak di daerah Perak Tengah.

“Sebanyak 28 kes melibatkan Kluster di Felcra Nasaruddin. KKM turut melaporkan seramai 45 orang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) di lokaliti ketika ini,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PKPD Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 turut dilaksanakan di Felda Bersia, Hulu Perak.

PKPD itu bermula 3 sehingga 16 Februari ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar kepada 800 penduduk.

Manakala, PKPD di Kg. Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak pula dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula 4 sehingga 10 Februari ini.

Selain itu, beliau menambah PKPD di Blok C dan Blok Sekolah di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA)

Muar, Johor ditamatkan pada 3 Februari, seperti yang dijadualkan. – AWANI