TAIPING – Tidak sampai 24 jam, halangan yang dibuat polis menggunakan cerucuk konkrit di satu laluan tikus di Taman Kota Permai, Simpang di sini telah dialihkan.

Keadaan itu disedari menerusi rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dijalankan polis sekitar jam 2.30 petang Isnin.

Bukan sahaja kenderaan ringan, malah lori dan van yang membawa barangan turut menggunakan laluan tikus tersebut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, laluan sepanjang 500 meter itu dikesan menjadi laluan alternatif penduduk sejak hari pertama PKPD dikuatkuasakan pada Sabtu lepas.

Beliau berkata, ia menghubungkan jalan utama ke Taman Simpang Bakti dan Taman Kota Permai tanpa perlu melalui sekatan jalan raya (SJR) untuk penduduk masuk ke Mukim Taiping.

“Menerusi rondaan pematuhan semalam (Ahad), anggota kita berjaya mengesan kewujudan laluan ini yang kita percaya dibuat sendiri oleh penduduk kerana tapak asalnya ialah kawasan semak.

“Sebagai tindakan awal, polis telah meletakkan lima cerucuk konkrit sebagai tanda halangan sekitar jam 9.30 malam tadi (Ahad). Besi itu kebetulan dibuang syarikat pembinaan di kawasan berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha polis itu tidak diambil endah oleh penduduk, malah mereka mengalihkannya agar ia dapat dilalui semula.

“Kalau diikutkan cerucuk ini sangat berat dan polis mengangkatnya sendiri dengan kekuatan lapan orang, tetapi tengoklah ia tetap dapat dialihkan penduduk yang berdegil.

“Tali kuning polis yang diletakkan di laluan ini juga telah dipotong. Mungkin selepas ini kita akan minta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk pemasangan kawad duri di sini,” katanya.

Tambah Osman, tindakan dilakukan penduduk itu boleh memberi risiko terhadap penularan wabak kerana individu yang keluar masuk tidak melalui pemeriksaan polis.

“Di kawasan Simpang sahaja terdapat tiga SJR ditempatkan termasuk satu di Tol Taiping Utara, manakala 11 laluan telah ditutup dengan pemasangan kawad duri,” katanya.

Mukim Taiping antara empat mukim di Perak yang dikenakan PKPD mulai 22 Mei sehingga 4 Jun depan berikutan berlakunya peningkatan kes jangkitan Covid-19. – Sinar Harian