TAPAH, 19 Julai: Polis meningkatkan kawalan di 13 lokaliti di Mukim Batang Padang dan Bidor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini dengan mendirikan 17 pos kawalan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, beberapa jalan dan lorong di kedua-dua mukim juga ditutup bagi mengekang pergerakan keluar dan masuk penduduk yang dikhuatiri akan menyebarkan wabak Covid-19 ke komuniti lain.

“Bagi memastikan kelancaran kawalan sepanjang tempoh PKPD, kita turut mendapatkan bantuan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu.

“Bantuan daripada pasukan keselamatan itu adalah bagi penugasan gerak kerja di lapangan dan pos kawalan PKPD lokaliti,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai khususnya penduduk setempat dinasihatkan agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPD oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan pelanggaran oleh mana-mana pihak ke atas SOP yang telah dikuatkuasakan.

“Pos kawalan dan penutupan jalan atau lorong itu adalah sebagai langkah untuk mengetatkan kawalan di lokaliti PKPD. Justeru orang ramai diminta bersabar dan sama-sama membantu dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Sebanyak 10 lokaliti di Mukim Batang Padang dikenakan PKPD iaitu Taman Tapah/Taman Bunga Raya dan Kampung Datuk, Taman Sri Damai 1/Taman Sri Damai 2, Taman Tapah 2, Taman Sri Asoka serta Kampung Baru Kampung Pahang dikenakan PKPD.

Turut sama dikenakan perintah tersebut ialah Batu 5 Tapah Road, Kampung Baru Pekan Getah, Kampung Batu Melintang dan Kampung Tanah Mas selain Taman Awam 3 Bidor/Taman Permata Bidor, Taman Sri Bidor dan Taman Bidor Jaya/Kampung Cegar Tambahan/Kampung Cegar di Mukim Bidor.

Terdahulu, Mukim Batang Padang dan Bidor yang dikenakan perintah sama mulai 10 Julai lalu ditamatkan lebih awal, mulai tengah malam ini, berbanding jadual asal pada 23 Julai depan. -Utusan