IPOH, 21 Mei – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di negeri Perak tidak melibatkan pemasangan kawat duri kerana ia meliputi kawasan yang sangat luas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, kawat duri hanya dipasang di beberapa laluan jalan pintas (lorong tikus) bagi menghalang pergerakan keluar dan masuk orang awam di kawasan PKPD.

Menurutnya, sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta elemen rondaan akan digunakan bagi memantau pergerakan keluar masuk orang awam terutamanya selepas pukul 10 malam.

“Tindakan tegas akan diambil jika terdapat penduduk yang tidak mematuhi undang-undang dan SOP yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PKPD di empat mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu di Daerah Hulu Perak; Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama; Hulu Kinta (meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) di Daerah Kinta dan Hulu Bernam Timur di Daerah Muallim, berkuatkuasa 22 Mei hingga 4 Jun.

Mior Faridalatrash berkata, ekoran pelaksanaan PKPD itu, terdapat penambahan sebanyak 11 Sekatan Jalan Raya (SJR) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 24 SJR.

Menurutnya, seramai 962 orang pegawai polis ditugaskan di empat mukim PKPD melibatkan penugasan SJR dan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Di samping itu, kata beliau, seramai 308 orang bantuan daripada pasukan penguatkuasa lain, menjadikan kekuatan keseluruhan seramai 1,270 orang.