KUALA LUMPUR, 18 MEI : Kesesakan yang berlaku di Plaza Tol Gombak arah ke ibu negara, hari ini berpunca daripada pemeriksaan teliti yang dijalankan ke atas setiap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya yang didirikan di plaza tol berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kesesakan mencecah empat kilometer itu tidak serius berbanding ketika perayaan sama pada tahun-tahun sebelum ini.

Anggota di sekatan jalan raya melakukan pemeriksaan teliti ke atas setiap kenderaan yang melalui plaza tol itu bagi memastikan mereka mempunyai dokumen rentas negeri sehingga menyebabkan berlaku kesesakan.

“Saya berada di Plaza Tol Gombak daripada jam 5 petang semalam hingga 1 pagi tadi untuk memantau sekatan jalan raya di situ dan dan pada hari ini hingga jam 9.30 malam tadi, kesesakan masih berlaku.

“Kebanyakan pemandu didapati mempunyai dokumen rentas negeri dan paling banyak adalah berkaitan urusan balik ke universiti serta institusi pendidikan lain selain ada juga yang berkaitan urusan kerja di sekitar Lembah Klang ,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Tinjauan keadaan trafik berhampiran Plaza Tol Gombak menghala ke ibukota mendapati penambahan bilangan kenderaan awam di kawasan berkenaan selepas cuti umum. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Deretan kendearaan awam melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Gombak dari arah timur menghala Kuala Lumpur di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP / Mohd Yusni Ariffin

Sebanyak 22 kompaun dengan denda RM5,000 setiap satu dikenakan terhadap mereka yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan sejumlah kompaun atas kesalahan sama turut dikeluarkan pihaknya hari ini.

Dalam pada itu, Arifai menafikan dakwaan netizen yang mempertikaikan kesesakan yang berlaku di Lebuh Raya Karak berlaku berpunca daripada aktiviti rentas negeri dan daerah oleh mereka yang pulang semula ke ibu negara selepas menyambut Hari Raya.

“Kesesakan antara tiga hingga empat kilometer itu tidak setara dengan kesesakan pada musim perayaan yang biasanya berlaku menjangkau 20 ke 30 kilometer walaupun tiada sekatan jalan raya dibuat.

“Jadi komen itu adalah tidak tepat,” katanya.

Difahamkan, seorang pegawai polis bersama 10 anggota diberi tanggungjawab menjalankan pemeriksaan ke atas semua kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan pada setiap syif.

Kesesakan antara tiga hingga empat kilometer hari ini tidak setara dengan kesesakan pada musim perayaan yang biasanya mencecah 20 hingga 30 kilometer walaupun tiada sekatan jalan raya dibuat - Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Tinjauan keadaan trafik berhampiran Plaza Tol Gombak menghala ke ibukota mendapati penambahan bilangan kenderaan awam ketika tinjauan 8 malam. - Foto NSTP/ Hazreen Mohamad

Sumber Berita Harian