PUTRAJAYA, 10 JUN – Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 (SPM 2020) yang memperoleh keputusan masing-masing hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mengambil maklum bahawa keputusan SPM 2020 yang diumumkan hari ini adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, dia berbangga dengan semua calon SPM 2020 dan menyifatkan mereka sebagai individu hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.

“Saya doakan agar anda semua memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan  guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini.

Katanya, usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.

“Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat,” katanya.

Beliau berkata, jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.

“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum  diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh,” katanya. -K! ONLINE