PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

Beliau menyifatkan pemergian mendiang Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

“Saya berasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin turut menzahirkan rasa sedih terhadap seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang cedera terkena tembakan di bahagian perut.

“Mendiang dan Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

“Saya berharap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dengan ujian ini. Saya juga berdoa agar Koperal Norihan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

“Saya mendoakan agar anda semua sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya. – K! ONLINE