LUMUT, 23 SEPT : Beberapa pokok tumbang dan puluhan rumah dilaporkan rosak dalam kejadian ribut dan hujan yang melanda daerah Manjung, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 30 minit bermula pukul 7 malam itu, sebuah khemah di sekatan jalan raya (SJR) di Kayan, Sitiawan turut diterbangkan angin manakala beberapa khemah penjaja termasuk pintu gerbang depan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Manjung, roboh.

Antara kawasan terjejas ialah Taman Samudera, Fasa 3A, Seri Manjung dan Teluk Senangin.

Difahamkan, sebanyak 28 bumbung rumah di Fasa 3A rosak dan diterbangkan angin.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan cedera atau melibatkan kematian dalam kejadian tersebut.

Pegawai Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Manjung, Leftenan Shamsur Shahuddin berkata, sebanyak enam kejadian pokok tumbang dilaporkan kepada pihaknya termasuk di Jalan Lumut – Sitiawan, Kampung Cina, Seri Manjung dan Teluk Senangin.

“Kami mengerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan dengan operasi pembersihan dan pengalihan pokok tumbang dilakukan oleh semua agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, keutamaan kerja-kerja pembersihan diberikan kepada pokok yang menghalang laluan kenderaan awam dan menimpa rumah.

Jelasnya, setakat ini, tiada pusat pemindahan dibuka dan operasi turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).  – UTUSAN ONLINE