PARIT BUNTAR: Polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengekang gejala penyalahgunaan daun ketum khususnya di kalangan pelajar di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata isu meminum air ketum seperti yang dilaporkan baru-baru di kalangan pelajar Kelantan adalah amat membimbangkan.

Katanya, pihaknya mengambil maklum dan sedang mengambil langkah proaktif untuk segera menangani gejala penyalahgunaan daun ketum di kalangan pelajar Kelantan.

“Kita (sedang) bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand sebab daun ketum ini banyak dibawa dari sempadan Thailand.

“Setakat ini, usaha-usaha komprehensif kita telah menunjukkan keputusan positif buat masa ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media selepas menghadiri Program Bebas Jenayah dan Dadah Masyarakat Kerian Sejahtera di Dataran Kerian Permai, di sini,hari ini.

Mohamad Fuzi berkata usaha untuk membanteras dan mengawal gejala dadah di seluruh negara secara keseluruhannya juga merupakan usaha bersepadu dari agensi-agensi terlibat seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya yakin bahawa langkah pihak polis dalam menggembeling tenaga untuk menurunkan kadar jenayah menunjukkan perkembangan yang baik setiap tahun.

“Indeks tahunan kadar jenayah telah berkurangan berbanding tahun sebelumnya tetapi “fear of crime” iaitu persepsi masyarakat yang masih berasa takut dan tidak selamat masih ada.

“Jadi, kita mesti cari jalan untuk perkara ini dan kita sedang mengambil pelbagai langkah dengan menggunakan apa sahaja mekanisme dalam PDRM untuk (mendekatkan) kita bersama masyarakat, persepsi mereka kepada pencegahan jenayah,”katanya lagi.

Tegasnya, kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu dan masalah dadah bukan terletak pada polis sahaja tetapi juga melalui kerjasama padu bersama masyarakat setempat.