Bota: Ketua Balai Polis Bota Asisten Superintendan Hasrul Affendi Mohd Salleh dan dua anggotanya, sempat menolak Proton Wira dipandu seorang wanita yang gagal dihidupkan di lampu isyarat simpang empat di Bota Kanan di sini, 10.30 pagi tadi, sebelum meneruskan tugas.

Ketika kejadian, menurut Hasrul Affendi, mereka sedang melalui kawasan berkenaan ketika penugasan operasi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kami dapati wanita itu keluar daripada kereta dalam keadaan cemas sebelum menghampirinya.

“Wanita itu memaklumkan, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Lekir, Sitiawan selepas membawa bayinya yang mempunyai masalah buah pinggang ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan.

“Kami dan beberapa orang awam kemudiannya menolak keretanya ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi mekanik,” katanya dihubungi.

Menurut Hasrul Affendi, wanita itu mengatakan yang dia meminjam kereta abang iparnya.

Katanya, wanita itu mengatakan terpaksa memandu sendiri kerana tidak mahu terlepas temu janji rawatan anaknya memandangkan suaminya yang juga nelayan tidak dapat menemani mereka kerana keluar ke laut.

“Wanita itu kemudiannya pulang ke rumah selepas kereta berkenaan selesai dibaiki,” katanya. – Harian Metro