Polis sedang mengesan peserta yang terlibat dalam konvoi kenderaan membantah kenaikan harga barang yang berlangsung di sekitar ibu kota semalam untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Dellhan Yahaya berkata ia berikutan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung konvoi berkenaan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021 iaitu larangan berarak.

“Sebanyak lima kenderaan dikesan memasuki daerah Dang Wangi sambil melekatkan kertas di kenderaan masing-masing yang bertulis ‘rakyat tuntut tiga’, ‘Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kurangkan kaji lebihkan kerja’, ‘menteri hentikan komen tidak sensitif!’, ‘#3 kartel / rasuah dihapuskan’, ‘#3 kuatkuasa undang-undang’,” katanya.

Beliau berkata konvoi berkenaan dikesan melalui Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menghala ke Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman.“`