TANJUNG MALIM, 22 FEB – Seramai 39 individu termasuk dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah selepas 15 sarang penagihan digempur dalam Op Sarang Khas di sekitar daerah ini minggu lalu.

Suspek berusia antara 27 hingga 54 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu dijalankan di Slim River, Behrang, Tanjung Malim, Felda Trolak dan Felda Besout.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 249.02 gram dan 41.47 gram dadah jenis heroin bernilai RM26,353.45.

“Semua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan dengan lima daripada mereka adalah pengedar manakala selebihnya ditangkap bagi kesalahan memiliki dan menagih dadah.

“Serbuan selama dua hari itu dilakukan di beberapa kawasan perumahan dan kebun-kebun kelapa sawit di sini yang dijadikan lokasi kegiatan tidak bermoral itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Muallim di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sumber dadah berkenaan diperolehi melalui jalan-jalan tikus dari luar Muallim dan majoriti suspek yang ditangkap adalah penganggur.

Katanya, kebanyakkan suspek yang ditangkap itu juga mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah seperti pecah rumah.

“Daripada 39 orang yang ditangkap itu, 10 penagih berpotensi untuk dituduh di bawah Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama serta Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dadah di daerah ini boleh menghubungi Ketua BSJN IPD Muallim, Asisten Superintendan Lee Jiunn Wey di talian 017-8186656 atau balai polis berhampiran.-K!ONLINE