IPOH, 24 Feb – Polis Perak telah menghantar 3,000 nama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi disenaraikan sebagai penerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya masih lagi menunggu jawapan daripada KKM berhubung perkara itu.

“Kita di Kontinjen Perak ada 10,924 pegawai dan anggota. Namun untuk fasa pertama kita telah menghantar nama kepada KKM sebanyak 3,000 nama.

“Justeru kita masih lagi menunggu jawapan daripada KKM berkenaan hal itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tol Jelapang, dekat sini, hari ini.

Beliau terdahulu meninjau perjalanan lori penyimpanan khas yang membawa dos vaksin COVID-19 di situ yang tiba pada jam 12.30 tengah hari dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Lori tersebut membawa vaksin ke empat lokasi di negeri ini iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, di Teluk Intan, Taiping seta Hospital Angkatan Tentera, Lumut.

Mengulas lanjut, Faridalathrash menegaskan Polis akan memastikan bahawa perjalanan lori yang membawa bekalan vaksin tersebut akan di empat lokasi itu dengan kawalan keselamatan terbaik.

“Tugas utama polis adalah untuk memastikan vaksin ini selamat sampai ke pusat simpanan vaksin dan di pusat itu pula telah ditempatkan anggota untuk membuat kawalan keselamatan.

“Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota tetap ditempatkan di pusat-pusat penyimpanan itu bagi memastikan bekalan vaksin berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Sebelum ini Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dilaporkan berkata 60 peratus daripada 34,743 petugas barisan hadapan di Perak telah bersetuju untuk menerima suntikan COVID-19 bermula 1 Mac ini.