IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam yang mensasarkan warga tempatan seluruh negara, melibatkan kerugian kira-kira RM11 juta.

Polis percaya, sindiket itu telah beroperasi dua tahun lalu di luar negara dan memindahkan operasi mereka ke Malaysia ekoran pandemik COVID-19.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kejayaan itu hasil risikan polis selepas menerima laporan seorang mangsa yang dipercayai ditipu RM67,000 oleh sendikit berkenaan.

“Polis telah menjalankan siasatan selama satu minggu ke atas kes ini dan kita mendapat satu petunjuk yang telah membawa kepada kejayaan di mana pihak polis daripada IPD Ipoh dan IPK Perak dan dengan kerjasama JSJK Bukit Aman, kami telah melakukan satu operasi dan telah buat satu serbuan di satu kondominium di Seri Petaling.

“Dalam serbuan kira-kira 5 petang 30 Oktober lalu, kami telah menangkap sejumlah 22 orang suspek yang terdiri daripada 13 lelaki Cina, empat perempuan Cina, empat lelaki India dan seorang lelaki Melayu yang merupakan ahli sindiket yang menjalankan aktiviti di satu pusat panggilan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa.

Menurutnya, bersama kesemua suspek warganegara Malaysia yang berumur antara 18 hingga 27 tahun, polis turut merampas pelbagai alat komunikasi seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebuah kereta.

Katanya, berdasarkan modus operandi sindiket itu, mereka menipu mangsa dengan menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan polis.

Hasil siasatan, setakat ini polis mengesan 76 kes melibatkan sindiket tersebut dan polis sedang mengesan ketua mereka.