KUALA LUMPUR, 18 MEI : Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan keluarga seorang selebriti ketika Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima berhubung perkara itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurutnya, menerusi satu gambar yang tular di media sosial dan laporan berita dalam talian menunjukkan sambutan Hari Raya oleh sebuah keluarga selebriti yang disyaki tidak duduk sebumbung.

“Kejadian disyaki berlangsung di kediaman selebriti terbabit yang terletak di Hulu Klang, Ampang, Selangor dan terdapat kira-kira 13 individu yang disyaki satu keluarga yang dipaparkan dalam gambar berkenaan.

“Majlis itu dijalankan tanpa mematuhi SOP ziarah Hari Raya yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang mana aktiviti ziarah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini .

Sehubungan itu katanya, siasatan akan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kes masih dalam siasatan dan kita akan memanggil semua pihak yang terbabit untuk memberikan keterangan lanjut.

“Pihak polis meminta orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tahun ini hingga 16 Mei lalu, sebanyak 599 kompaun dikeluarkan dan 16 kertas siasatan sudah dibuka atas pelbagai kesalahan pelanggaran perintah dan syarat SOP.

Pihaknya turut menyeru agar orang ramai terus mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan daripada semasa ke semasa.

Terdahulu, tersebar di media sosial gambar keluarga selebriti berkenaan berkumpul untuk menyambut Hari Raya bersama isteri dan bekas isteri serta anak-anak mereka.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai terutama netizen kerana perkara itu jelas melanggar SOP PKP kerana selebriti itu tidak tinggal sebumbung bersama bekas isterinya serta anak-anak daripada hasil perkahwinan mereka. – Harian Metro