PETALING JAYA, 10 MAC : Polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki berusia 54 tahun di lokap balai polis Cheras pada Isnin.

Pemandu teksi itu didapati menggantung dirinya dalam lokap balai berkenaan.

“Siasatan lanjut diteruskan di bawah kes kematian mengejut (SDR). Siasatan dalaman oleh
pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut dibuat ke atas petugas lokap,” kata Ketua Polis Daerah Cheras, Mohamed Mokhsein Mohamed Zon dalam satu kenyataan.

“Si mati berada di sel lokap seorang diri disebabkan tahanan lain yang ditempatkan dalam sel yang sama telah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan.”

Dia dikatakan menggunakan baju tahanan yang dibekalkan untuk menggantung diri pada jeriji besi pintu sel lokap.

Mokhsein berkata, lelaki yang ditangkap Khamis lalu itu, direman selama enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Awal hari ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menuntut siasatan dilakukan terhadap kematian lelaki itu, sambil menegaskan ia wajib bagi setiap kematian dalam tahanan polis atau penjara di bawah Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam satu kenyataan, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) berkata penjelasan polis mengenai kematian lelaki itu tidak masuk akal kerana lokap tersebut sering dipantau oleh CCTV dan beberapa anggota polis.

Kematian dalam tahanan menjadi perhatian utama sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk siasatan terhadap kematian Mohd Fadzrin Zaidi, 29 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara pada 22 November 2019. Dia juga dikatakan telah menggantung diri. – FMT