Jempol, 22 April: Polis buka satu kertas siasatan berkaitan sepucuk surat mengecam bunyi kuat dari Masjid Jamek Bahau dan memaki hamun orang Melayu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis sudah memanggil pihak yang dipercayai menghantar surat kepada pengurusan masjid berkenaan sebelum ia tular di media sosial.

“Kandungan surat itu mendakwa keadaan bunyi kuat dari masjid dan menjadi tempat ramai orang berkumpul sehingga boleh menyebabkan penularan Covid-19 selain memaki hamun orang Melayu.

“Pihak jawatankuasa masjid membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap kiriman surat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, kandungan surat itu ada mengaitkan dengan sebuah restoran di Taman Meranti tetapi pemilik restoran menafikan pembabitannya selain turut membuat laporan polis.

Menurutnya, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang. – Harian Metro