BATU GAJAH: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang terlibat dalam kes lelaki berpakaian jubah wanita dan mencuri wang dalam tabung Surau Al-Solehiah Kampung Tersusun Taman Tasek Permai, Batu Gajah, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata kejadian yang berlaku pada 16 Oktober itu disedari oleh seorang jemaah yang menemui beberapa keping pita pelekat yang diletakkan di atas meja.

“Susulan itu, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di surau itu menunjukkan seorang individu berjubah hitam dan memakai pelitup muka sedang menjolok lubang tabung surau dengan menggunakan objek panjang untuk mencuri wang.

“Rakaman CCTV di luar surau kemudian menunjukkan lelaki itu memandu kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.

“Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah kemudian telah mengesan dan menangkap lelaki itu di Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, antara barangan yang dirampas ialah sehelai jubah dan tudung berwarna hitam, seluar panjang dan beg sandang.

Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk kes mencuri wang tabung sebuah masjid di Jelapang, Ipoh pada Ogos lalu.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan lelaki itu direman empat hari bagi membantu siasatan.